Wednesday, June 27, 2018

Manja Tak Bersalah! 32

Iman mengurut kepalanya yang berdenyut-denyut. Sakit kepalanya datang kembali. Badan dia pun terasa agak panas. Iman ambil termometernya. Suhu badannya dia check.
39.7°C. Suhu badannya naik kembali. Iman mengeluh. Dia baru sahaja mandi untuk malam ini. Pagi tadi sudah dia makan panadol. Nampaknya dia kena makan ubat lagi. Tapi ubat yang tidak mengantuk. Sebelum itu, perutnya harus berisi dulu.
Iman ke meja kerjanya. Satu pek bubur nasi segera jenama Know dan mangkuk dia ambil. Dia buka pek itu dan tuang ke dalam mangkuk. Dia ke pantri untuk mengambil air panas.
Siap sahaja bubur segeranya, segelas air dia ambil untuk makan ubat. Iman duduk di meja pantri dan makan bubur nasinya.
Kalau nak diikutkan rasa nak muntah sahaja, tapi digagahkan juga untuk menghabiskan semangkuk bubur. Ubat yanga baru diambil di farmasi dia ambil sebiji dan ditelannya. Air diminum sehingga separuh gelas.
Iman menyandarkan badannya ke kerusi. Kepala diurut supaya rasa sakit kepala berkurang. Apalah nasib dapat on call masa macam ni. Seksa!
"Puan Iman kita ni tak sihat ke?"
Iman toleh ke belakang. Melihat siapa yang menegurnya.
Yahya tersenyum melihat Iman.
"Kau Yahya. Demam sikit. Dah makan ubat dah." Jawab Iman lemah.
"Muka merah kau kata sikit. Kau baliklah. Suruh suami kau ambil." Saran Yahya.
Iman menggeleng kepala tanda enggan berbuat demikian. Bukan tak pernah jadi macam seperti ini sepanjang bekerja sebagai seorang doktor. Cuma kali ini teruk sikit.
"Kau ni memang degil betullah. Kalau kau tak nak balik, jom masuk air. Aku minta mana-mana nurse cucuk kau. Nanti aku buat record untuk kau." Yahya mengalah. Kalau Iman kata tidak sampai ke sudahlah tidak dia. Sudah lama bekerja dengan Iman, buat dia cukup kenal dengan Iman.
Iman diam seketika. Memikirkan cadangan Yahya. Akhirnya dia bersetuju saja. Daripada biar demam dia melarat baik dia pergi masuk air. Suhu pun boleh tahan tinggi.
"Okay lah."
~~~
'Dah pagi tapi dia tak balik lagi?! Nak kena Iman ni. Dia balik siap dia aku kerjakan. Macam mana nak jadi isteri mithali tapi makan pakai suami tak jaga. Aku pun kerja jugak tapi tahu jalan balik rumah. Pagi-pagi dah buat orang panas hati. Geramnya aku!' Amin membebel dalam hati. Geram betul Amin dengan Iman.
"Manja dah siap? Mari sarapan sama-sama. Mummy masak nasi goreng cina dengan telur dadar." Puan Balqis tersenyum bila melihat Amin yang lengkap berpakaian kerja.
Nasi dicedok ke atas pinggan Amin. Sekeping telur dadar diletakkan di atas nasi. Milo panas dituang ke dalam cawan dan diberikan kepada Amin.
Amin mendapat idea. Dia mahu menggunakan situasi sekarang yang mana Iman tak balik rumah untuk memburukkan Iman di mata mummynya. Pasti mummynya akan berpihak kepada Amin.
"Mummy, mana menantu kesayangan mummy tu? Tak balik-balik. Lupa jalan, Waze ada. Dia sengaja nak kenakan manja. Mummy kena ajar sikit menantu mummy tu macam mana nak jadi isteri mithali macam mummy. Ni tak. Baru hari pertama kerja dia dah buat hal." Adu Amin kepada Puan Balqis.
Puan Balqis agak terkejut bila Amin berkata sedemikian. Gayanya seperti dia tidak tahu yang Iman ada on call dan akan berada di hospital sepanjang malam. Tapi Iman kata sudah mesej kepada Amin. Hmm...
"Manja tak tahu ke buat-buat tak tahu?" Tanya Puan Balqis ingin kepastian.
"Tahu apa mummy?" Amin sengetkan kepala ke kanan dengan mata terkedip-kedip.
Puan Balqis mengeluh. Bertuah punya manja.
"Iman kan on call semalam. Dia duduk dekat hospital. Iman kata dia ada mesej manja dalam mesej yang mummy dapat dari dia. Manja tak baca mesej Iman ke?" Walaupun geram, Puan Balqis masih berkata lembut.
'Mesej?' Amin berfikir sejenak. Kemudian Amin teringat mesej yang dia baca semalam. Amin tepuk dahi. Silap langkah!
Amin telan air liur. Amin jeling sedikit ke arah Puan Balqis. Puan Balqis sedang tersenyum lebar ke arahnya. Tiba-tiba Amin rasa sejuk. Bulu romanya meremang. Wajah Amin menjadi pucat. Puan Balqis kalau senyum macam tu, kena siap sedia wahai telinga. Panjang tazkirah pagi ni.
Dan bermulalah sesi tazkirah Puan Balqis kepada Amin dengan panjang lebarnya. Mujur Amin tak lewat masuk pejabat.
Amin menghempaskan tubuhnya di kerusinya. Satu keluhan panjang dilepaskan.
"Apalah nasib pagi-pagi dah kena tazkirah. Ini semua Iman punya pasal. Manja tak bersalah..." Sayu suara Amin berkata sedemikian dengan nada yang perlahan.
Terang-terang salah dia, tetap disalahkan Iman.
"Itulah, lain kali prihatin sikit. Isteri doktor bukan kerani. Masa kerja bukan tentu. Ada shift. Masa kerja pun lagi panjang dari kerja biasa. Jangan cari buruk orang je." Itulah serba sedikit ayat tazkirah Puan Balqis.
~~~
Puan Balqis tawaf di ruang tamu. Sesekali jam di dinding dilihatnya. Wajahnya jelas kerisauan.
"Kenapa awak bertawaf ni? Saya yang dari tadi perhati pening jadinya." Kata Encik Amir setelah hampir 15 minit memerhatikan tingkah laku isterinya.
"Saya risaulah abang. Menantu kita Iman tak balik-balik. Dah pukul 10.30 dah. Katanya balik pagi. Ni tak sampai-sampai lagi ni. Kalau jadi apa-apa? Dah lah kerja 24 jam." Puan Balqis meluahkan perasaannya kepada suaminya.
"Awak ni. Ke situ pula fikirnya. Iman bukan baru kerja. Dah lama dia kerja. Pandailah dia nak urus. Doa yang baik-baik." Encik Amir cuba menenangkan isterinya. Dia juga turut risau. Tapi jika dia juga turut risau dan panik, pasti isterinya bertambah risau dan fikir yang bukan-bukan.
Ping! Pinggg!
Puan Balqis dan Encik Amir serentak toleh ke tingkap depan. Melihat siapa yang menghon kereta di depan rumah.
Puan Balqis tersenyum bila melihat kereta Iman berada di hadapan rumah. Puan Balqis membuka pintu pagar dan menyambut Iman dengan senyuman. Namun, senyuman Puan Balqis hilang apabila melihat wajah pucat Iman.
Iman menyalami tangan mertuanya. Iman meminta izin untuk naik ke bilik untuk berehat. Malam ini dia kerja juga. Belum sempat Iman naiki tangga, Puan Balqis menahannya.
Puan Balqis meletakkan tapak tangannya di dahi Iman. Tak panas sangat. Tapi wajah pucat Iman membuatkan Puan Balqis sangat risau.
"Mummy, Iman okay. Dah makan panadol tadi. Nanti baiklah ni." Iman cuba menyedapkan hati Puan Balqis.
"Betul tu Balqis. Bagi Iman berehat dulu. Iman, naik atas bersihkan diri lepas tu rehat ya." Iman mengangguk dan minta diri lagi sekali sejurus sahaja Encik Amir berkata sedemikian.
"Awak masaklah bubur ke sup ke untuk Iman. Mesti dia lapar. Bagi dia ruang untuk rehat dulu. Dia baru balikkan." Puan Balqis setuju dengan kata-kata suaminya. Terus Puan Balqis ke dapur untuk masak untuk menantunya.
Bersambung...

No comments:

Post a Comment